MONOLOG
ANAK BUANGAN
Karya Anis Julai
Suara
itu! Ah! Suara itu singgah lagi di gegendang telingaku. Indah dan merdu
sehingga menusuk ke jiwa. Kalbu yang berombak
lara tenang seketika. Badai pilu yang acap kali menghempas pantai hati
kembali membelai. Pintu hati yang terkunci, terbuka luas menjemput masuk pawana
syahdu memercik damai. Allahuakbar Allahuakbar!! Ya Allah! Sesungguhnya Kaulah
Yang Maha Besar. Aku tunduk pada kudrat dan iradat-Mu. Ingin sekali kuselami
Ma’rifat-Mu. Mahu rasanya mendampingi-Mu setiap kali rindu ini bertandang. Naluriku
meronta-ronta ingin mencungkil rahsia di sebalik dugaan ini.
Peti suaraku kukejutkan. Ingin sekali
kulemparkan intonasi suara semaksimal mungkin, agar insan-insan itu menyedari
pedih luka yang masih berdarah. Namun apalah dayaku. Sebanyak manalah kudratku.
Aku anak malang. Hanya mampu menzahirkan perasaan yang terbuku dengan deraian
air mata. Hanya naluriku yang mampu menangis hiba. Berkali-kali aku cuba menjerit, merayu
meminta ihsan. Namun mereka masih tidak mengerti. Ah! Aku sudah mula dibuai
perasaan putus asa. Dadaku sebak mengenangkan penderitaan yang telah dan bakal
aku tempuhi.
Ibu! Ibu! Di mana
dirimu ibu? Anakmu ini terlalu merinduimu. Terlalu mendambakan curahan kasih
sucimu. Adakah semudah itu kau melupakan tubuh ini yang sembilan bulan sepuluh
hari terkandung dalam kantung rahimmu? Lupakah dirimu ibu, susah payah kau
melahirkanku ke dunia? Sememangnya aku telah ditakdirkan bermula dengan
gametes. Ovummu dan sperma lelaki itu bersenyawa di salur falloppiomu lantas
mencipta 46 kromosom menjadi zigot yang sempurna.
Di sinilah aku. Titisan nutfah yang tercipta hasil
daripada hubungan terlarang lalu membentuk alaqah. Peralihan masa yang menjadi
fitrah setiap penciptaan Ilahi menyaksikan aku yang perlahan-lahan membentuk
mudhghah. Embriomu ini diimplantasikan di dinding rahimmu lantas menjadi janin
yang terus berkembang. Pancainderaku dilengkapkan. Tubuhku disempurnakan.
Segumpal daging ini lalu ditiupkan roh lantas dinding anteriormu mula merasa
cetusan gerak-gerak kecilku.
Aku mula hidup
dan membesar dalam tubuhmu. Mula menerima nutrien yang terhadam dari arus salur
plasenta. Aku bernafas seiring dengan sesalanmu. Denyut nadiku dan detap
jantungmu bersama-sama menghitung hari. Hari penentuan yang bakal membongkar
segala rahsia yang kau pendamkan. Dan kehadiranku akhirnya terzahir walaupun
kau cuba menyembunyikannya. Perutmu makin memboyot besar sehingga akhirnya kau
dihalau dari laman ayah bondamu. Mahligai perteduhanmu tidak mahu dipijak oleh
dirimu yang penuh noda. Keluargamu sudah tidak sanggup merelakan contengan
arang ke wajah mereka. Umpat nista, caci seranah semuanya masih
terngiang-ngiang di telingaku, ibu.
Kejahilan dirimu
dan hasutan nafsu syaitan yang pernah membuak-buak suatu ketika dulu
menyebabkan air matamu kering ketika manusia-manusia itu menghukummu dengan
nada celaan. Dirimu sedar akan kebersalahanmu itu. Kau membawa dirimu dan aku
bersama palitan dosa dan maruah yang telah kau robekkan. Saat itu aku tidak
tahu entah berapa kali empangan mataku pecah. Aku juga tidak tahu sudah berapa
dalam lurah kesalku ini. Antara jijik melihatmu, merasa betapa rendahnya darjat
diri ini dan rasa kasih yang mula bertamu di hatiku pada dirimu, seorang ibu.
Hari-hari yang
kita lalui mengundang selautan suka dan duka. Memang hidup banyak mehnahnya.
Antara segunung kekesalan masa lampau dan selautan keyakinan untuk menempuh
hari-hari mendatang, kau membawa diri. Kakimu terus melangkah menagih secebis
kasih daripada insan yang pernah menguntum bunga-bunga cinta di perdu jiwamu. Namun
kau terus direjam dengan panahan kata-kata nista. Apalah nasibmu duhai ibu.
Lelaki yang menanam benih di ladang milikmu galak bersandiwara di hadapan
keluarganya. Dia dianggap mulia ketika seranah bersembunyi di sebalik diri
syaitan yang bertopengkan manusia itu. Dan akhirnya kau pergi membawa suatu
penghinaan yang pahit untuk ditelan. Mengapa beban ini hanya tergalas di bahumu
saja? Mengapa tidak sama-sama bertanggungjawab dan bermuhasabah lantaran dosa
yang masing-masing merelakannya?
Langkah demi
langkah kau atur. Lemah dan tidak berdaya. Mentari mula bersinar pijar
seakan-akan turut sama menghukummu. Dan tika itu, pandanganmu menjadi gelap.
Kau terbaring tidak bermaya lantaran fizikalmu yang dihenyak kepenatan seiring
batinmu yang dihimpit sesalan. Oh ibu! Tabahkanlah hatimu. Syukur pada-Nya
kerana masih ada insan yang ingin menghulur simpati. Akhirnya kau diambil
bekerja di gerai makan milik Pak Osman dan Mak Mah. Dan mereka kau anggap
sebagai anugerah Ilahi, menggantikan ayah bondamu yang telah memadamkan namamu
dari kamus sejarah keluarga. Mulianya
hati kedua insan itu yang membenarkan kau berteduh di teratak damai mereka. Kau
mereka tatang seperti anak yang menjadi amanah Rabb.
Mewangi kuntuman
bahagia antara kita. Kasih sayang yang tidak pernah kau miliki dulu mula kau
kecapinya di sini. Aku gembira, ibu! Saat aku melihat dirimu kembali tertawa
dan ceria. Saat aku menyaksikan sinar ketenangan di birai matamu. Saat kau
dendangkan aku dengan alunan kalam Ilahi. Surah Maryam dan Luqman menggetarkan
denyut nadiku. Mendamaikan jiwaku. Dan kau mula tersenyum saat aku memberi
tindak balas pada kalimah tayyibah yang kau lagukan.
Ibu! Memanik
jernih meluncur laju dari kolam mataku. Aku menangis, ibu. Aku menangis setelah
melihat dirimu yang setiap detik berbisik-bisik dengan-Nya. Cahaya damai
terpancar di raut wajahmu. Kewajipan lima waktu yang seringkali kau abaikan
dulu, kini ditunaikan di awal waktu. Tiang agama itu dibina kembali setelah
sekian lama ia runtuh. Kau sering berbicara padaku bahawa dulu kau hidup dalam
pesona dunia. Terlalu mengagungkan modenisasi dan kemewahan. Namun aku tidak
mahu menyalahkan dirimu. Kau dididik dan dibesarkan dalam gaya hidup sebegitu.
Ayah dan bondamu bangga melakar sejarah di celah-celah masyarakat madani. Merekalah
korporat berjaya yang menganggap kebahagiaan dan maruah boleh dibeli dengan
wang ringgit. Namun mereka terlupa pada sebuah kelalaian yang akhirnya membunuh
masa depanmu. Dan hari ini mereka terus rakus menikam sembilu ke jiwa sucimu tanpa sedar bahawa permainan duniawi
ini sebenarnya bermula daripada dua pemain tunggak.
Kau sering
membisikkan padaku kekesalanmu kerana terlanjur melalui detik-detik hitam dalam
hidupmu yang penuh pura-pura itu. Aku mengerti ibu perasaan tulusmu itu. Saat
kau bermuhasabah dan bermunajat di hamparan suci itu, aku turut menangis ibu.
Aku tahu dan sedar, manusia memang tidak pernah sunyi daripada melakukan
kesilapan. Namun seringkali terhukum sehingga adakalanya mereka mula mengulangi
kesilapan lalu dek terhenyak dengan kata cemuh masyarakat sekeliling. Terhimpit
dek dinding rekaan insan sehingga tidak mampu keluar menebus kesalahan diri.
Lalu insan-insan yang tercalar itu makin parah lukanya hingga tiada penawar
lagi.
Telah termaktub
di Loh Mahfuz, ketika fajar siddiq mula menjengah alam dari celah-celah bukit,
ketika itulah kau mula mengadu kesakitan. Aku sudah tidak dapat menahan
keinginan diri untuk menyaksikan sendiri fatamorgana dunia yang sering kau
ceritakan padaku. Aku ingin sekali menempuh samudera hidup bersama-samamu, ibu.
Terasa ingin berbicara denganmu. Redup mataku bertemu dengan hening matamu.
Pak Osman dan Mak
Mah menemanimu di rumah sakit. Saat-saat itu aku rasakan kau amat memerlukan
perhatian dan sokongan daripada insan-insan yang kau sayangi. Namun kau akur
pada kehendak Ilahi. Katamu ini adalah kifarah atas segala noda hitam yang
telah kau palitkan di kanvas hidupmu. Oh ibu! Kesabaranmu tiada bertepi.
Kuncupan rahimmu
memaksaku keluar dari kepompong yang telah lama aku diami. Kau bermujahadah
dengan kesakitan yang tercetus. Perhitungan antara hidup dan mati. Akhirnya
dewan bersalin bergema dengan raungan suatu kelahiran insan baru. Kini aku
dapat menatap wajahmu, ibu. Dan kau hadiahkan aku sebuah senyuman ketika
seorang wanita berpakaian putih memperlihatkan diriku padamu.
Kedamaian
menyusup masuk mendiami naluriku tatkala aku berada dalam pelukanmu. Kucupanmu
ke pipiku serasa satu nikmat yang tidak dapat aku gambarkan. Telinga kananku
diazankan dan telinga kiriku diiqamatkan dengan kalimat seruan yang mulia. Aku
bahagia, ibu. Aku bahagia kerana anak yang terhasil daripada hubungan terlarang
sepertiku masih dapat mendengar kalimat suci kalam Rabbul Jalil. Dan aku lihat
ada manik-manik jernih yang luruh membasahi pipimu ketika Pak Osman mula berbicara
indah.
“Tiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah
Islami). Ayah dan ibunyalah kelak yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau
Majusi.”
Dari
sumurmu, kau hilangkan dahagaku. Dari lembut belaian tanganmu, kau redakan
tangisanku. Dari kucupan mesramu, kau hadiahkanku sejambak kasih suci. Dari
nyanyian zikir rindu buat Al-Rahman, kau tenangkan jiwaku. Kemulian hati dan
ketulusan jiwamu memaut erat perasaan cintaku padamu, ibu. Terima kasih kerana
sudi melahirkanku ke dunia ini.
Dan kini ibu. Nyalaan lilin cintamu telah kau padamkan. Aku
cuba menyalakan kembali sumbu lilin yang telah sebati dalam kandil jiwaku,
namun tidak berdaya. Kau pergi saat aku berlayar tenang di samudera kasihmu.
Kelainan bicaramu pada malam nan dingin itu menjadi realiti igauan buruk yang
mengunjungi lena tidurku. Aku terasa seolah-olah kau ingin meninggalkanku. Dan
apa yang amat kutakuti itu telah kau realitikannya. Percayalah ibu! Betapa
anakmu ini amat merinduimu. Kembalilah ibu! Kembalilah!
Nukilan Rasa :
Ghafirah bt. Idris
830117-14-5506
Peti Surat 742
Batu 5 Kg. Paya
Jln. Kaki Bukit
02400 Beseri, Perlis
04-9777113 / 012-4303359
Comments